Source Utusan Online
KUALA LUMPUR 24 Jan. – i-City bernilai RM2 bilion yang dibangunkan di Shah Alam oleh I-Berhad, bakal menempatkan sebuah kampus keusahawanan dalam usaha menjadikan Selangor sebuah negeri yang berasaskan pengetahuan.
”Difahamkan perkara itu sedang dipertimbangkan dengan serius oleh kerajaan negeri berkenaan,” kata I-Berhad dalam satu kenyataannya di sini.
Kampus itu dijangka memberikan pelbagai perkhidmatan yang diperlukan ketika ini termasuk panel penasihat dan bantuan pelaburan modal, mereka bentuk struktur organisasi, menjalankan operasi pemasaran.
Ia juga menyediakan rangkaian pengurusan yang memerlukan satu kumpulan usahawan kreatif terutamanya mereka yang pakar dalam industri teknologi.
Kerajaan Negeri Selangor dalam kenyataannya di sini pula berkata, pihaknya sedia menyegerakan bantuan berbentuk dana pelaburan, termasuk melibatkan universiti-universiti sebagai sumber inovasi di samping menjalin hubungan dengan pusat-pusat tekno usahawan yang tertumpu pada kepakaran masing-masing dalam industri lebih khusus.
”i-City mempunyai kemudahan dan prasarana yang canggih, selain sudah mendapat taraf koridor raya multimedia (MSC) yang membolehkan syarikat-syarikat di situ menikmati pelbagai faedah yang dilindungi oleh Jaminan Bil MSC.
”Bagi memastikan usaha kita berjaya dilaksanakan, Kerajaan Negeri sedang berusaha membawa ke Shah Alam Plug and Play dan Play Tech Centre Lembah Silicon California yang terkenal mempunyai rekod cemerlang dalam pembentukan komuniti keusahawanan. Oleh itu ia boleh dijadikan contoh dan acuan semasa pembentukan kampus keusahawanan di Shah Alam kelak,” kata kenyataan itu.
Pengerusi Timbalan Eksekutifnya, Datuk Lim Kim Hong ketika mengulas perkembangan itu memberitahu Utusan Malaysia, kampus usahawan adalah sebahagian usaha kerajaan Selangor untuk menjadikan negeri yang berasaskan pengetahuan ekonomi dan i-City dikenal pasti sesuai sebagai pusat ilmu Shah Alam.
Menurutnya, buat masa ini, tumpuan i-City adalah terhadap penubuhan syarikat-syarikat berpengetahuan dan kampus itu memberikan i-City satu peluang untuk mereka.
“i-City mempunyai infrastruktur dan kemudahan untuk menyokong tekno usahawan, oleh itu sebarang pelaburan untuk kampus ini adalah dalam tempoh percubaan bagi mereka berbanding aspek-aspek hartanah.
“Dari perspektif i-City, kampus ini akan membantu merangsangkan permintaan untuk ruang pejabat daripada pusat-pusat sokongan perniagaan seperti syarikat perakaunan, guaman dan setiausaha yang diperlukan untuk menyokong usahawan,” kata beliau.
Tambahnya, I-Berhad menjangka tekno usahawan akan mengambil ruang di i-City apabila perniagaan mereka dikembangkan lagi.

