Penjaja pasar malam: Daftar dengan SSM untuk dapat pinjaman

Sourece Utusan Online

KUALA LUMPUR 29 Jan. – Peniaga kecil terutama penjaja pasar malam atau tempat-tempat terbuka perlu mendaftarkan perniagaan mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi memudahkan mereka mendapat pinjaman, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, masih ramai di kalangan peniaga-peniaga kategori tersebut yang tidak mendaftarkan perniagaan dengan SSM atas alasan mempunyai lesen atau permit daripada pihak berkuasa tempatan.

Katanya, peniaga-peniaga tersebut mengalami kesukaran mendapatkan pinjaman kerana bank dan institusi kewangan memerlukan sijil pendaftaran perniagaan daripada mereka.

“Oleh itu, sukar bagi mereka untuk mendapatkan pinjaman bagi meluaskan perniagaan mereka dan sebagainya kerana mereka tidak mempunyai lesen perniagaan,” katanya kepada pemberita selepas menutup program “Outreach SSM-UniKL: Perniagaan Anda Bermula” di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, tidak ada sebab untuk peniaga kecil memberi alasan untuk tidak mendaftarkan perniagaan mereka kerana pihak SSM telah pun mempermudahkan hal tersebut. – Bernama

Leave a Comment

Please note: Comment moderation is enabled and may delay your comment. There is no need to resubmit your comment.