Jan 6

Oleh Zainab Mohd Yatim
source-bharian.com.my

PERBADANAN Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) sudah mengenal pasti usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berpotensi untuk memasarkan produk mereka ke pasaran antarabangsa tahun ini.

Agensi itu dalam kenyataannya berkata, pemilihan itu dibuat pada sesi pemadanan perniagaan membabitkan 72 usahawan, yang berlangsung selama tiga hari pada 11 hingga 13 Disember lalu, sempena pameran Satu Daerah Satu Industri (SDSI) 2009 di Melaka.

Katanya, produk usahawan PKS yang berjaya dikenal pasti untuk dipasarkan termasuk makanan dan minuman, cenderahati, barang hiasan diri, barang kegunaan rumah, produk herba, tekstil, produk kesihatan dan peralatan dapur.

“Kejayaan menjadi sebagai pembekal kepada pasar raya besar Malaysia meletakkan usahawan PKS pada landasan yang betul bagi menembusi pasaran antarabangsa.

“Ini bermakna mutu produk usahawan PKS mempunyai kualiti yang baik dan boleh memenuhi piawaian pasar raya besar atau pembeli lain di luar negara,” katanya.

Susulan pemilihan itu, Matrade berkata, ia dengan kerjasama Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) akan memantau secara berterusan keupayaan dan kebolehan usahawan PKS sebagai pembekal yang berwibawa untuk menjadi pengeksport baru.

Usahawan PKS berpotensi juga akan dibantu dan dibimbing di bawah program pembangunan pengeksport baru Matrade.

Dalam sesi pemadanan perniagaan SDSI itu, wakil daripada usahawan PKS terbabit juga diberi taklimat perniagaan oleh Mydin dan GCH Retail (M) Sdn Bhd (Giant), Tesco, The Store dan Matrade, bertujuan memberi pengetahuan untuk menjadi pembekal kepada pasar raya besar tempatan dan luar negara.

Matrade berkata, SDSI anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu akan terus dimanfaatkan pada masa depan untuk mengenal pasti usahawan PKS yang berpotensi mengeksport produk dan perkhidmatan mereka ke luar negara.

Sehubungan itu juga, bantuan berterusan daripada agensi kerajaan, dewan perniagaan dan pasar raya besar yang lain diperlukan untuk membantu dalam usaha ini.

Sementara itu, Matrade berkata, SDSI 2009 di Melaka berjaya mencatatkan jualan bernilai RM9.65 juta, dengan jualan sebenar sebanyak RM5 juta dan jualan dalam rundingan sebanyak RM4.65 juta.