Source Utusan Online
11/02/2010 7:44pm
PUTRAJAYA 11 Feb. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, inisiatif Nombor Identiti Korporat Malaysia atau MyCoID akan memainkan peranan utama ke arah mengurangkan masa untuk memulakan perniagaan berdasarkan piawaian Bank Dunia daripada 11 hari kepada tiga hari.
Perdana Menteri berkata, inisiatif itu merupakan satu lagi langkah ke hadapan yang pasti akan menaikkan lagi kedudukan Malaysia dalam World Competitive Report.
“Sebab salah satu daripada kategorinya ialah untuk memudahkan urus niaga, melibatkan selama mana masa yang diperlukan untuk memulakan sesebuah perniagaan.
“Jadi, dengan pintu masuk yang akan kita wujudkan yang akan memakan masa kira-kira enam bulan, dan peruntukan tambahan telah diumumkan bererti bahawa menjelang akhir tahun ini, kita akan dapat mencapai piawaian memulakan perniagaan dalam masa tiga hari,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan MyCoID, 1 Identiti Korporat, di sini hari ini.
MyCoID merujuk kepada nombor syarikat yang akan digunakan sebagai satu siri nombor rujukan tunggal untuk kegunaan pelbagai urusan pendaftaran dan urusan dengan agensi kerajaan yang berkaitan. – Bernama


