Feb 24

Source Utusan Online

KUALA LUMPUR 23 Feb. – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed hari ini melahirkan rasa malu apabila isu kesukaran perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendapat pembiayaan masih lagi tidak selesai.

Katanya, beliau akan berjumpa secara peribadi dengan pengurusan tertinggi Bank Negara Malaysia (BNM) untuk berbincang mengenai isu tersebut.

“Saya akan membawa isu ini (pembiayaan) untuk dibincangkan supaya dapat memahami situasi sebenar, mengenal pasti kenapa masalah itu masih wujud dan mencari penyelesaian bagi mengurangkan masalah ini.

“Kami tahu banyak usaha telah dilakukan sejak beberapa tahun ini dalam mendapatkan pembiayaan tetapi ia masih merupakan isu yang sentiasa dipersoalkan sehingga ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Dialog dan Seminar Pelaburan Domestik Kebangsaan anjuran Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) dan SME Corporation, di sini hari ini.

Mustapa berkata, kegagalan mendapat pembiayaan daripada SME Bank pernah diutarakan dan seharusnya ditangani secara serius supaya tidak menjejaskan usaha kerajaan untuk merangsangkan pelaburan domestik.

“Saya berasa agak malu dengan isu ini, kerana di mana saya pergi, saya selalu menerima masalah yang sama. Ia juga diutarakan ketika mesyuarat Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri minggu lalu,” katanya.

Beliau menyatakan demikian mengulas ketika ditanya mengapa proses kelulusan pembiayaan yang lama dan kekurangan pekerja mahir dalam SME Bank untuk menilai semula permohonan pembiayaan.

Sementara itu, Mustapa berkata, perbincangan khas dengan BNM juga akan diadakan dalam masa terdekat ini bagi menangani masalah pembiayaan, yang dihadapi PKS.

Menurut beliau, kementeriannya dan BNM selalu membuat perbincangan tetap berhubung punca masalah yang dihadapi PKS.
~~~~~~~~~
Ok, bagi PKS yang bermasalah untuk apply loan Call Saya Zamer 012 6939868. Kita tengok setakat mana saya boleh bantu anda. InysaAllah…

Jan 22

Source Utusan Online

KUALA LUMPUR 21 Jan. – Hanya tiga peratus daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan yang mempunyai portal kemudahan jual beli elektronik (e-dagang), menggunakannya untuk berurus niaga.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp., Datuk Hafsah Hashim berkata, e-dagang berpotensi untuk dikembangkan kerana 92 peratus PKS memiliki akses Internet dan 53 peratus pula mempunyai laman web.

”Mereka (PKS) memang melakukan transaksi dalam talian tetapi pembayarannya dilakukan secara manual,” katanya selepas majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara SME Corp., eBay dan Paypal.

eBay merupakan pasaran dalam talian terbesar dunia manakala Paypal pula menyediakan perkhidmatan yang membenarkan ahlinya menghantar dan menerima pembayaran dalam talian tanpa mendedahkan maklumat kewangan.

MoU tersebut bertujuan membantu PKS tempatan untuk melibatkan diri dalam e-dagang menerusi pengenalan dan latihan.

Pada majlis itu, Hafsah mewakili SME Corp. manakala eBay diwakili oleh Ketua Pegawai Operasi (China, Asia Tenggara dan Jepun), Oliver Hua dan Paypal diwakili oleh Pengurus Besar (Asia Tenggara dan India), Mario Shiliashki.

Hadir pada majlis, Pengerusi SME Corp., Datuk Mohamed Al Amin Abd. Majid dan Ketua Pegawai Eksekutif eBay (China, Asia Tenggara dan Jepun), Jeff Liao.

Hafsah berkata, aktiviti e-dagang juga boleh dikembangkan memandangkan jangkaan 22 peratus PKS tempatan menerokai pasaran antarabangsa pada tahun ini.

Tambah beliau, e-dagang merupakan pilihan terbaik untuk PKS, khususnya yang berada di kawasan luar bandar, memasarkan produk mereka di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Hua berkata, aktiviti e-dagang berkembang dengan baik di Malaysia apabila mencatatkan pertumbuhan sebanyak 29 peratus pada tahun lalu.

”Kami melihat lebih banyak negara Barat melakukan pembelian melalui kaedah dalam talian dari Asia kerana kini mereka melihat nilai yang diperoleh,” jelasnya.

Dalam pada itu, Shiliashki berkata, Paypal akan memberikan diskaun sebanyak 25 peratus untuk yuran transaksi bagi tempoh selama tiga bulan berjumlah sehingga AS$100 (RM333).

Jan 6

Oleh Zainab Mohd Yatim
source-bharian.com.my

PERBADANAN Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) sudah mengenal pasti usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berpotensi untuk memasarkan produk mereka ke pasaran antarabangsa tahun ini.

Agensi itu dalam kenyataannya berkata, pemilihan itu dibuat pada sesi pemadanan perniagaan membabitkan 72 usahawan, yang berlangsung selama tiga hari pada 11 hingga 13 Disember lalu, sempena pameran Satu Daerah Satu Industri (SDSI) 2009 di Melaka.

Katanya, produk usahawan PKS yang berjaya dikenal pasti untuk dipasarkan termasuk makanan dan minuman, cenderahati, barang hiasan diri, barang kegunaan rumah, produk herba, tekstil, produk kesihatan dan peralatan dapur.

“Kejayaan menjadi sebagai pembekal kepada pasar raya besar Malaysia meletakkan usahawan PKS pada landasan yang betul bagi menembusi pasaran antarabangsa.

“Ini bermakna mutu produk usahawan PKS mempunyai kualiti yang baik dan boleh memenuhi piawaian pasar raya besar atau pembeli lain di luar negara,” katanya.

Susulan pemilihan itu, Matrade berkata, ia dengan kerjasama Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) akan memantau secara berterusan keupayaan dan kebolehan usahawan PKS sebagai pembekal yang berwibawa untuk menjadi pengeksport baru.

BannerFans.com

Usahawan PKS berpotensi juga akan dibantu dan dibimbing di bawah program pembangunan pengeksport baru Matrade.

Dalam sesi pemadanan perniagaan SDSI itu, wakil daripada usahawan PKS terbabit juga diberi taklimat perniagaan oleh Mydin dan GCH Retail (M) Sdn Bhd (Giant), Tesco, The Store dan Matrade, bertujuan memberi pengetahuan untuk menjadi pembekal kepada pasar raya besar tempatan dan luar negara.

Matrade berkata, SDSI anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu akan terus dimanfaatkan pada masa depan untuk mengenal pasti usahawan PKS yang berpotensi mengeksport produk dan perkhidmatan mereka ke luar negara.

Sehubungan itu juga, bantuan berterusan daripada agensi kerajaan, dewan perniagaan dan pasar raya besar yang lain diperlukan untuk membantu dalam usaha ini.

Sementara itu, Matrade berkata, SDSI 2009 di Melaka berjaya mencatatkan jualan bernilai RM9.65 juta, dengan jualan sebenar sebanyak RM5 juta dan jualan dalam rundingan sebanyak RM4.65 juta.